Showing posts with label Sedih. Show all posts
Showing posts with label Sedih. Show all posts

Friday, 14 December 2012

Kegagalan itu payah?


Bismillahirrahmanirrahim


Gagal bukan selamanya.


            Gagal adalah biasa. Normal. Semua manusia pernah gagal. Jika kita merasakan ada yang tidak pernah gagal, sentiasa senang, mungkin dia akan gagal di sana. Siapa tahu?


            Bilamana kita gagal, hanya kerana 2 sebab, sama ada kita masih tidak berusaha semampunya atau Allah sengaja menghalang kita dari sesuatu perkara yang Dia rasakan bukan yang terbaik buat kita. Sebagai contoh, ada antara kita yang gagal mengambil bidang jurusan yang kita inginkan di universiti. Malah ada yang lebih hebat ujiannya dengan tidak langsung dapat menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Semuanya urusan Dia. Mempertikaikan kenapa jadi begini dan begitu  seolah kita tidak yakin akan perkara itu yang terbaik untuk kita.


           Berbalik kepada topik tadi. Mengenai kegagalan masuk ke universiti dan jurusan yang diinginkan. Namun cuba kita sama-sama lihat dari sudut positif. Jika kita tidak memasuki universiti, syarikat atau tempat yang kita berada sekarang, sudah tentu kita tidak berada di tahap sekarang dan mengenali insan-insan yang berada di sekeliling kita sekarang. Kita tidak akan merasai kenangan yang kita ada sekarang. What we do yesterday defines us today.  Tak tau siapa punya quote, but it is nice. Jujur saya bersyukur dengan apa, dimana dan siapa yang saya ada sekarang. Tanpa mereka, saya tidak akan jadi seperti saya yang sekarang. Kenangan itu saya akan bawa sehingga nafas terakhir saya. Honestly. Harapnya saya tidak nyanyuk la. Kena banyak baca Al-Quran semestinya. Tapi itu chapter lain.


 "Manusia merancang dengan cita-cita, Allah merancang dengan Cinta."


            Apa yang penting adalah sentiasa redha dan bersangka baik kepada Allah atas segala kegagalan kita. Kita ini hamba kan? Berani pula nak mempersoal takdirnya begini dan begini. Jika niat dan cara kita sudah sedia elok, tiada sebab kita akan gagal. Jika gagal, mungkin niat kita tidak betul. Tapi jika kita merasakan niat kita sudah tepat, maka bersabarlah. Lambat laun kita tetap akan dapat hasil usaha kita. Allah hanya ingin kita sentiasa mengharap padanya. 


Surah Al Baqarah : 216


              Mungkin Dia tahu kita akan mudah lupa diri jika kita sentiasa di atas. Jika kita 'tersadung',  itu adalah kerana Allah ingin kita melihat ke bawah dan menolong org yang turut sama di bawah. Jika kita mudah mendongak ke atas, itu bermakna Allah mahu kita sentiasa sedar yang semuanya datang dariNya.


            Anggaplah segala kesedihan dan kegagalan itu sebagai 'cuitan' dari Yang Maha Penyayang supaya kita berpaling kembali kepadaNya dan sentiasa menyedari bahawa Dia sentiasa hampir dengan kita, setiap masa, di mana sahaja.

Thursday, 13 December 2012

Sebab Untuk Bersedih?


Bismillahirrahmanirrahim

Kenapa bersedih atas perkara yang kita tahu akan pergi?



              Sejak 2 atau 3 bulan lalu, saya mengalami kesedihan. Pfft. Siapa yang peduli. Haha. Bak kata orang, mandi tak basah, makan tak kenyang. Tapi bab makan tu tiada kesan kot. Makan untuk hidup okeh. Takkan nak lapar sebab sedih?  Tak munasabah. Haha.

                 Apa-apapun, saya sudah sepenuhnya recover dari kesedihan itu. Tak mau la sedih-sedih dah. Malu la dengan mak saya nanti. Sebab untuk kesedihan itu, memang sebab keduniaan yang tidak sepatutnya kita lakukan. Lama kelamaan saya rasa sesuatu, dan bertanya pada diri sendiri, kenapa aku perlu sedih? Sepatutnya saya rasa gembira sebab Allah dah selamatkan saya dari satu perkara yang Allah tahu bukan yang terbaik untuk saya. Jika Allah tarik sesuatu dari kita, yakinlah perkara itu memang bukan yang terbaik untuk kita. Adakah Allah nak bagi yang tak baik dan tiada manfaat pada kita? Tidak sama sekali. Mustahil.

Jadi, jika kita masih merasa sedih atas sesuatu, cuba kita fahami ayat ini.


" Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berduka cita, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman" (Surah Ali Imran, ayat 139)


                    Saya bukan nak mentafsir ayat al-Quran atau apa kerana saya bukan ahlinya, cuma ayat ini benar-benar direct dan mudah difahami. Allah tidak mahu kita hanya bersedih atau berduka cita. Allah mahu kita meningkatkan keimanan kita dengan asbab kesedihan ini. Bila kita sedih, jadikan perkara itu sebagai sebab untuk kita lebih rapat dengan Allah. Lebih banyak doa padaNya, lebih banyak bergantung padanya. Lebih yakin merasakan bahawa Dialah yang mentakdirkan kesedihan itu. 

              Indah kan, bila Allah jadikan kita sedih supaya kita sedar bahawa hanya Dia yang ada penawar kesedihan tersebut.Lain kali jika saya sedih, saya akan cuba untuk mengingat kembali kata-kata ini :

Kenapa kita hanya memilih satu sebab untuk bersedih sedangkan Allah telah memberikan kita seribu sebab untuk berasa gembira?

So stand on your own feet dan berkata : 

Terima kasih Allah kerana menyayangiku dengan ujianMu.

Wednesday, 12 December 2012

Sedang diuji?

Bismillahirrahmanirrahim.

Adakah kita rasa ujianNya terlalu berat?

               Ujian. Semua manusia akan diuji. Semua. Lelaki, wanita. Kaya, miskin. Ujian adalah sesuatu yang kita tidak boleh elakkan. Jika mereka yang selalu hidup dalam kesenangan, kesenangan itu adalah ujian. Jika mereka selalu hidup dalam kekurangan, itu adalah ujian mereka. Maha Suci Allah yang mengetahui apakah ujian terbaik untuk setiap hambaNya.

               Tatkala kita diuji, kuncinya adalah Syukur. Dapat rezeki, kita syukur. Dapat ujian, kita sepatutmya turut bersyukur. Kenapa? Sebab kita dipilih. Kerana Allah tahu apabila kita diuji dengan ujian yang berat, doa kita, harapan kita dan pergantungan kita pada Allah jauh lebih baik dari waktu kita senang. Jauh lebih ikhlas dari waktu kita gembira.

            MasyaAllah, Dia rindu ingin mendengar hambaNya merayu. Kalau kita merayu pada manusia, mereka akan bosan kelama-lamaan dan mereka akan rasa benci dengan kita. Namun bila kita merayu hanya pada Allah, makin Allah mahu mendengar rayuan, rintihan dan permintaan hambaNya. Kerana Maha Suci Allah yang menciptakan kita, Dia jugalah tempat kita kembali mengadu. Mana ada kereta yang rosak pergi servis di kedai komputer. Sudah pasti tempat selayaknya adalah bengkel kereta. Begitu juga dengan kita manusia. Selayaknya hanya Yang Maha Esa.

Masih bersedih?

 

             Okay cuba lakukan perkara ini. Semasa kita sedih dan teringat perkara yang mendukakan kita, apa saja, kita letakkan tangan di dada. Cuba tenangkan hati kita dengan berkata :

Ya Allah, Engkau Maha Mengetahui segala yang terjadi padaku, hanya Engkau memahami segala perit hatiku. Aku yakin Engkau mengira setiap kesedihanku, Aku redha dengan apa yang Engkau takdirkan untukku. Maka janganlah Engkau palingkan hatiku dariMu. Jika kesedihan ini lebih Engkau sukai untukku, maka tabahkanlah aku. Hanya Engkau berhak keatasku kerana aku hanya hambaMu, Ya Allah Ya Tuhanku.


            Kemudian kita cuba meredhakan, melepaskan apa sahaja yang kita rasa sedih. Mungkin kereta rosak, barang hilang, awek lari, pakwe hilang (baguslah) dan sebagainya. Syukurlah atas apa yang kita masih ada. Bukan hanya bersedih atas apa yang tiada pada kita. Lupakah milik siapa semua ini? Bersangka baiklah denganNya. Allah tidak akan menarik sesuatu yang kita ada melainkan pasti akan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik.


“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah: ayat 5 dan 6) 

            Benar,ujian memang susah,namun lupakah kita, Allah berjanji akan menemani kita pada setiap langkah?


Untuk lebih motivasi, lawati Page KhadimulQuran di sini.

Popular Posts